IKLAN

Saturday, July 11, 2015

SANDWICH TELUR MAYONIS

Assalamualaikum...hari ni Arisa kurang sihat jadi Arisa hanya menyediakan hidangan yang cukup ringkas untuk keluarga bersahur. Memandangkan semakin bulan ramadhan nak berakhir selera pun makin berkurangan mungkin kerana kepenatan sibuk mengemas rumah untuk menyambut lebaran yang bakal tiba.  

Walaupun hidangan ini teramat ringkas tapi Arisa tetap memastikan yang ianya adalah makanan kegemaran anak-anak. Paling penting sekali Arisa akan pastikan mereka bangun sahur untuk mengalas perut bimbang mereka tidak tahan berpuasa sewaktu di sekolah nanti.


SANDWICH TELUR MAYONIS


Bahan-bahan :

6 keping roti sandwich (plain/gandum)
2 biji telur
Mayonis
Sos cili
Planta

Cara-cara :

Panaskan planta di dalam kuali dan pecahkan telur. Kacau sehingga telur hancur. Tidak perlu dimasukkan garam kerana penggunaan planta sudah membuat telur manjadi sedikit masin. Setelah itu, angkat telur dan masukkan di dalam bekas. Kemudian tambahkan mayonis dan kacau hingga rata. Akhir sekali sapukan pada roti dan letakkan sos cili untuk memberi rasa sedikit pedas. 

Friday, July 10, 2015

BIHUN GORENG KAMPUNG

Assalamualaikum...sudah menjadi kebiasaan setiap kali bulan ramadhan kami sekeluarga lebih gemar makan nasi untuk  berbuka dan bersahur. Tapi sesekali Arisa ada juga menyediakan hidangan lain. Kali ini Arisa menyediakan bihun goreng kampung pula. Kebiasaannya kite selalu mendengar nasi goreng kampung kan dan da tentunye bahan utama adalah cili padi. Begitu juga dengan resepi kali ini cuma Arisa kurangkan sedikit kuantiti cili padinya maklumlah bulan puasa ni kalo makan pedas-pedas sangat kang takut pula banyak kali masuk ke rumah kecik...heehee...faham-faham ajala kan...Bahan-bahan lain yang diperlukan sama seperti cara memasak nasi goreng kampung. Boleh juga jika ingin menggunakan mee kuning atau keawtiaw.


BIHUN GORENG KAMPUNG


Bahan-bahan :

1 bungkus mihun (rendam dan toskan)
2 biji telur
Sayur sawi
Fish cake
Garam 
Kicap masin
Sos tiram

Bahan tumbuk : 

1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
Ikan bilis 
Cili padi ikut suka
Belacan

Cara-cara :

Panaskan minyak tumiskan bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan fish cake dan pecahkan telur kacau rata. Masukkan mihun yang telah direndam tadi dan gaul sebati. Setelah itu masukkan kicap masin dan sos tiram. Jika kurang masin bolehla ditambah sedikit garam. Akhir sekali masukkan sayur sawi dan biarkan sayur sedikit layu dan boleh ditutup api. Enak dimakan bersama keropok ikan dan kicap cili. 

Thursday, July 09, 2015

KARI AYAM TANPA SANTAN BERSAMA HOMEMADE NASI IMPIT DAN SAMBAL KACANG



Assalamualaikum... Tinggal lebih kurang lagi seminggu je nak raya. Masing-masing tentu sedang sibuk buat persiapan raya kan. Jadi ibu ni lagila penat pening nak fikir banyak perkara yang nak dibuat. Kalau boleh tu satu rumah nk ditukarnya dengan barang baru. Tapi bagi Arisa persiapan sederhana sahaja. Sesuai dengan budget dan kemampuan sudah asalkan keperluan anak-anak disediakan sebab yang nak rasa beraya ni doranglah yang paling happy bila menyambut syawal nanti. 
So, hidangan Arisa hari ini pun kire-kire hidangan 'pre-raya'la konon. Ada homemade nasi impit, akri ayam tanpa santan dan sambal kacang. Cume satu menu lagi tak ada kuah lodeh. Sebab kami sekeluarga kurang gemar dengan kuah lodeh. Dan kari yang Arisa sediakan ni pun tanpa santan. Bagi yang tak suka makan berlemak bersantan bole cuba ok. Nasi impit pula mang kami suka buat sendri lebih lembut dan sedap.


KARI AYAM TANPA SANTAN BERSAMA HOMEMADE NASI IMPIT 
DAN SAMBAL KACANG 


Bahan untuk 1 bungkus nasi impit :

1 cawan beras (basuh dan toskan)
1 helai plastik 6' x 9'
garam
daun pandan

Cara-cara :

Masukkan beras yang telah bersih ke dalam plastik dan gamkan plastik menggunakan sealer.
Masukkan air dalam periuk dan rendamkan beras tadi sehingga tenggelam.
Tambahkan garam dan daun pandan untuk aroma nasi impit yang lazat.


Bahan-bahan kari ayam :

1 ekor ayam dipotong kecil
3 biji kentang dipotong empat
1 batang lobak merah di potong memanjang
2 biji tomato
daun kari
rempah tumis
serbuk kari ikan
serbuk kari daging
garam
perahan air asam jawa
minyak

Bahan Kisar :

1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia


Cara-cara :
1. Panaskan minyak dan masukkan rempah tumis.
2. Setelah itu masukkan bahan yang dikisar tadi. Tumis sehingga keluar bau.
3. Satukan serbuk kari ikan dan serbuk kari daging dengan air sehingga menjadi paste kemudian masukkan ke dalam tumisan tadi. Masak sehingga garing.
4. Selepas itu masukkan kentang dan lobak merah.
5. Setelah kedua bahan hampir empuk masukkan pula ayam. dan tutup periuk sebentar.
6. Setelah ayam empuk masukkan perah air asam jawa dan garam.
7. Apabila kuah mendidih, letakkan tomato dan tutup api.

Bahan untuk sambal kacang :

Bahan kisar:
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
cili kering
belacan
2 batang serai (diambil bahagian bawah sahaja)


Kacang tanah (digoreng dan ditumbuk)
2 batang serai diketuk
gula melaka
garam
perahan air asam jawa

Cara-cara :
Tumiskan serai dan bahan kisar sehingga garing. Masukkan kacang tanah yang telah dihancurkan. Tambahkan perahan air asam jawa dan garam. Apabila kuah mendidih masukkan gula melaka.




Wednesday, July 08, 2015

CENCARU MASAK TERUTUP

Assalamualaikum...Kalau ada je ikan cencaru biasanye Arisa lebih suka  masak terutup selain dibakar. Ini pun salah satu resepi ibu mertua yang diturunkan pada Arisa. Sejak berkahwin ibu mertua banyak bagi resepi, ilmu dan tips untuk memasak lauk pauk untuk keluarga. Insyaallah Arisa akan teruskan memasak setiap resepi yang diajar untuk anak dan cucu-cucunya. Untuk resepi yang ala-ala cam masak sambal ni Arisa suka letakkan bawang besar yang dipotong empat kerana suami amat sukakannya. Kalau dia tak jumpa bawang potong dalam terutup ni mesti dia tanya " tak letak bawang potong ke?" Jadi Arisa akan letak letak lebih. Tapi terpulangla ye. Ikut suka masing-masing.

CENCARU MASAK TERUTUP


Bahan-bahan :

3 ekor ikan cencaru (bole dipotong dua ataupun tidak)
2 labu bawang besar (belah empat)
2 batang serai (diketuk)
gula melaka
garam
perahan air asam jawa
minyak masak

Bahan kisar :
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit
belacan
cili kering

Cara-cara:
1. Sapukan serbuk kunyit dan garam pada ikan dan goreng agak separuh masak. Ketepikan.
2. Gunakan kuali yang same panaskan minyak dan masukkan serai yang diketuk.
3. Tumis bahan kisar dengan minyak masak sehingga garing. Pastikan betul-betul garing ye.
4. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi beserta potongan bawang besar.
5. Apabila sambal mendidih  tambahkan perahan air asam jawa dan perasakan dengan garam.
6. Akhir sekali masukkan gula melaka agak-agak jangan sampai terlalu manis. Hanya nak bagi rasa lemak dan sambal nampak berkilat.

Tuesday, July 07, 2015

NASI GORENG CINA PLANTA

Assalamualaikum...Sahur pagi tadi Arisa hanya sempat mnyediakan Nasi Goreng Cina sahaja untuk keluarga kerana bangun hampir habis waktu untuk bersahur. Mujur bahan-bahan telah disediakan lebih awal. Jadi capai sahaja kuali apalagi terusla menumis. Disebabkan dah terlambat jadi cube buat sepantas mungkin agar kami semua tidak terlepas waktu bersahur. Resepi yang amat ringkas tapi alhamdulillah asal dapat mengisi perut anak-anak supaya mereka tahan sampai waktu berbuka nanti.


NASI GORENG CINA PLANTA

Bahan-bahan :

3 mangkuk nasi
1 labu bawang besar - dihiris
2 ulas bawang putih - dicincang
1 biji telur
lobak merah - dihiris
cili padi - dihiris
sos tiram
garam
kiub ayam
planta untuk menumis

Cara-cara :

Panaskan planta dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan hirisan lobak merah dan cili padi. Kemudian masukkan nasi dan kacau rata. Tambahkan sos tiram, garam dan kiub ayam. Pecahkan telur dan ratakan pada nasi. Hidangkan dengan bawang goreng.

Friday, July 03, 2015

CENDAWAN TIRAM GORENG TEPUNG

Assalamualaikum...Tadi ada kawan kat opis jual cendawan tiram ni. Selalunya Arisa akan masak sup sayur letak tauhu jepun. Tapi tiba-tiba cam terasa nak makan cendawan goreng tepung pulak. Biasalah tekak orang puasa kan tak boleh dibaca macam-macam yang nak ditelannya...Hidangan ni boleh dimakan sebagai kudapan atau boleh juga dijadikan sebagai lauk sampingan. Jom cuba...


CENDAWAN TIRAM GORENG TEPUNG



Bahan-bahan : 
1 peket cendawan tiram
tepung beras
tepung gandum
serbuk kunyit
serbuk kari
serbuk cukup rasa
garam

Cara-cara :
 Satukan kesemua bahan dengan air tetapi jangan terlalu cair nanti tak melekat pada cendawan pulak. Panaskan minyak, celupkan satu persatu cendawan dan goreng sehingga garing. Angkat dan toskan minyak. Sedap dimakan panas dan dicecah sos cili. Krup krap...krup krap...yum....yum....

Thursday, July 02, 2015

CENCARU BAKAR

Assalamualaikum...Hari ni Arisa nak masak makan yang simple je. Rasa tak larat pulak da nak hujung-hujung puasa ni. Kebetulan stok dalam peti ais ada ikan cencaru yang dah disiang maka makin mudahla kerja Arisa hari ni..Heeee..... 


CENCARU BAKAR 



Bahan-bahan :

2 ekor ikan cencaru yang telah dibersihkan
(jangan dibuang kulitnya)

Bakar di atas kuali leper. Bakar dikedua-dua bahagian  sehingga masak.

Pencecah:

Cili padi
bawang besar
limau kasturi
kicap

Cincang bawang besar dan cili padi. Potong limau kasturi sebahagian diperah sebahagian lagi biar didalam campuran bawang dan cili tadi. Tambahkan kicap dan siap untuk dicecah bersama ikan bakar.


Wednesday, July 01, 2015

SPAGHETTI CARBONARA BERCILI

Assalamualaikum & selamat tengahari...Salam Ramadhan ke-14. Terasa pantas masa berlalu. Sekejap je da separuh bulan kita berpuasa. Dah macam-macam resepi kita kongsi bersama dan dah bermacam-macam resepi kita cuba untuk santapan berbuka bersama keluarga.

Hari ni Arisa bertukar selera ala Itali tapi dah dijadikan mengikut citarasa orang melayu. Haha...tengok je gambar da tau da...Kalo chef Itali tengok resepi ni mau berasap telinga. Memandai je ek ubah resepi. Tapi tak salahkan kalo kita pelbagaikan rupa dan rasa. Sendiri yang nak makan pun... Heee......


SPAGHETTI CARBONARA BERCILI


Bahan-bahan :

1/2 peket spaghetti (rebus dengan minyak zaitun)
1 labu bawang besar - dicincang
2 ulas bawang putih - dicincang
daging ayam yang dikisar
sosej
crabstick
cendawan butang
cili padi - dicincang
sos prego carbonara
mixed herbs
garam


Cara-cara :

Tumis bawang besar dan bawang putih menggunakan mentega sehingga kekuningan. Masukkan daging ayam kisar, sosej, crabstick dan cendawan butang yang telah dipotong. Kacau sehingga agak masak. Kemudian masukkan sos prego carbonara. Biarkan sehingga sos mendidih. Tambahkan mixed herbs dan garam secukup rasa. Setelah siap boleh dicurahkan sos pada spaghetti yang hendak dihidangkan. Taburkan dengan cili padi. Arisa tidak masukkan cili padi pada awal tumisan kerana bimbang anak-anak makan pedas nanti sakit perut pulak. Bagi penggemar pedas cili padi boleh dimasukkan bersama tumisan bawang tadi menjadikan rasanya lebih menyengat...

Tuesday, June 30, 2015

UBI REBUS & UBI GORENG BERSAMA SAMBAL CILI

Assalamualaikum...Bulan puasa ni tekak mintak macam-macam nak makan untuk berbuka kan. Tambah-tambah lagi kalo kene musim da dapat gaji ni. Semua benda nak dimakan semua benda nak dirasa. Hari ni Arisa kongsikan resepi berasaskan ubi. Tapi awas...jangan terlebih makan nanti banyak sangat pulak aingin yang keluar...hihi....kang terlepas pulak tengah-tengah solat terawih kang. Oopppsss....sape nak jawab tuuuu...

UBI REBUS & UBI GORENG


Bahan-bahan :

 Ubi
serbuk kunyit
perencah kari Maggi mee

Cara-cara :

Satukan kesemua bahan dan goreng sehingga agak-agak garing.



Bahan-bahan :

Ubi
garam
daun pandan
air

Cara-cara :

Masukkan kesemua bahan dan rebus sehingga empuk.


Bahan-bahan :

Bahan kisar:
1 mangkuk cili padi
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit ikan bilis

1 labu bawang besar - dihiris
minyak untuk menumis
garam secukup rasa
sedikit gula jika suka




Cara-cara :

1. Tumis bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan bawang yang telah dihiris.
3. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.


** Ubi rebus dan ubi goreng enak dimakan bersama sambal cili dan minum kopi o panas. Fuuuuhhhh.....mang mencili mulut...



Monday, June 29, 2015

JERANAN MODEN

Assalamualaikum...Korang pernah dengar Jeranan?...Haaa...Arisa mula tahu perkataan jeranan ni apabila pertama kali Ibu mertua Arisa masak menu untuk hari pertama berbuka sewaktu baru berkahwin dulu. Rupanya JERANAN = PECAL.Yang Arisa tahu ini adalah makanan orang jawa. Tapi kami bukan orang jawa cuma sangat suka makan jeranan ni.Kalau nak ikut resepi sebenarnya jeranan ni memerlukan sayur-sayur kampung, seperti pucuk ubi, jantung pisang, kacang panjang dan beberapa ulaman yang lain. Tapi yang ini Arisa da modenkan sedikit mengikut citarasa tekak Arisa. Hehe...

JERANAN MODEN


Bahan-bahan :

Sayur kangkung (dicelur)
Tauge (dicelur)
tauhu (digoreng dan dipotong kecil)
tempe (digoreng dan dipotong kecil)
Timun

Kuah Kacang :

Bahan Kisar :

1 mangkuk Cili kering
2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
2 batang serai

1 mangkuk kacang tanah (digoreng dan ditumbuk kasar jika suka)
sedikit belacan
1 ketul gula melaka
garam secukup rasa
air asam jawa

Cara-cara untuk memasak kuah kacang :

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga garing dan pecah minyak.
2. Masukkan masukkan belacan jika suka.
3. Letakkan kacang tanah yang telah dikisar.
4. Setelah sebati, perasakan dengan garam dan masukkan gula melaka untuk mendapatkan rasa kuah kacang yang lazat.
5. Tambahkan sedikit air asam jawa untuk penyedap rasa.
6. Hidangkan bersama sayur-sayuran yang telah dicelur dan digoreng tadi.




Sunday, June 28, 2015

SUP MACARONI ISTIMEWA

Assalamulaikum...Selamat tengahari...Salam Ramadhan...
Hari ni Arisa nak berkongsi dengan semua resepi yang digemari anak-anak Arisa.... Sup Macaroni Istimewa.
Simple untuk disediakan dang mengenyangkan. Selain macaroni boleh juga diganti dengan pasta yang lain contohnya fettuccine, penne, farfalle, dan sebagainya. 

SUP MACARONI ISTIMEWA


Bahan-bahan :

1 mangkuk macaroni (direbus dan ditoskan)
1/2 labu bawang besar (cincang)
2 ulas bawang putih (cincang)
1 kiub ayam
1/2 btg carrot 
2 biji kentang 
1/2 mgkuk isi ayam
garam


Cara-cara : 

1. Tumis bawang besar dan bawang putih yang telah dicincang tadi sehingga kekuningan.
2. Masukkan isi ayam dan kacau sehingga masak.
3. Masukkan carrot dan kentang. Tambahkan air supaya sayur mudah empuk.
4. Masukkan kiub ayam dan garam.
5. Biarkan mendidih.Tutup api.


Saturday, June 27, 2015

CUCUR KURMA RAMADHAN

Assalamualaikum...Setiap kali bulan Ramadhan kita takkan dapat dipisahkan dengan kurma. Dan setiap kali itulah Arisa akan menyediakan juadah untuk berbuka puasa ini. Sedap dan mudah disediakan.


CUCUR KURMA RAMADHAN



Bahan-bahan :
1 cawan buah kurma yang telah dibuang biji - dipotong kecil
2 cawan tepung gandum 
sedikit gula 
sedikit garam
air suam
minyak untuk menggoreng

Cara-cara :
Bancuhkan semua bahan dengan air suam untuk mendapat bancuhan yang lembut.
Panaskan minyak.
Setelah minyak panas, sudukan bancuhan cucur dang goreng sehingga kekuningan.
Siap untuk berbuka puasa.

Friday, June 26, 2015

KEAWTIAU GORENG SEDAP

Assalamualaikum...Hari ni Arisa ingin berkongsi resepi yang Arisa paling suka makan sewaktu mengandungkan anak yang ke-2. Keawtiau Goreng. Cuma kali ini keawtiau nya kosong aje. Tak sempat nak cari bahan utama nye...kerang...Kalo ade tu fuuuhhhh mang Arisa punya fav tu. Mari kite masak keawtiau goreng sedap.

KEAWTIAU GORENG SEDAP



Bahan-bahan :
1 bungkus keawtiau
2 labu bawang besar- cincang
3 ulas bawang putih - cincang
sedikit cili kisar
fish ball
fish cake
sayur sawi hijau
tauge
telor
serbuk cukup rasa
kicap manis
kicap masin
sos cili
sos tiram

Cara-cara : 

Tumis bawang besar, bawang putih dan cili kisar sehingga naik bau.
Masukkan fish ball dan fish cake.
Masukkan serbuk cukup rase, sos cili, sos tiram dan kicap.
Kemudian masukkan keawtiau dan kacau rata.
Pecahkan telor dan akhir sekali masukkan sayur sawi dan tauge.
Masak sekejap saja tak perlu lama untuk mengelakkan sayur jd layu. tak best makan nanti.
Ok siap. Sedap dimakan bersama sambal tumis dan hirisan timun.


Thursday, June 25, 2015

SUP KAKI AYAM


Kalau tadi da masak lauk yang pedas yang ini pula Arisa sediakan sup kaki ayam. Menu kegemaran suami dan anak-anak Arisa. Sup kaki ayam ni baik dimakan di bulan puasa ni memandangkan badan kita kurang air di siang hari dan kaki ayam pula bagus kerana mengandngi kolegen. Boleh awet muda kalau suka makan uuuu.... Tapi Arisa belum berminat lagi untuk rasa jadi tukang masak je bolela...Ok jom ikot resepinya.

SUP KAKI AYAM




Bahan-bahan :
300g kaki ayam yang telah disersihkan
2 biji kentang sederhana besar dipotong berbaji
1 batang lobak merah dipotong berbaji
Rempah tumis
Sup Bunjut 
Garam
Daun sup dan Daun Bawang - hiris halus
Bwang Goreng untuk hiasan


Bahan-bahan hiris :
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia


Cara-cara :
1. Tumiskan bahan-bahan hiris bersama dengan rempah tumis sehingga naik bau dan warna bawang bertukar kekuningan.
2. Tambahkan 1 liter air dan masukkan kaki ayam tadi.
3. Masak sehingga kuah mendidih atau apabila kaki ayam tadi dah mula pecah-pecah.
4. Masukkan kentang dan lobak merah.
5. Masak sehingga semua bahan empuk.
6. Masukkan sup bunjut dan perasakan sup dengan garam.
7. Apabila sup telah siap tambahkan daun sup dan bawang goreng sebelum dihidangkan.

SAMBAL UDANG BERSAMA PETAI

Assalamualaikum...Bulan Puasa ni tekak mulalah rasa nk makan macam-macam. Setiap hari ada sahaja menu yang terasa nak memasaknya. Hari ini kita berkongsi resepi Sambal Udang Bersama Petai. Makan makanan pedas memang membangkitkan selera ditambah pula dengan ulaman petai. Tapi makan tu biarla berpada ye.

SAMBAL UDANG BERSAMA PETAI


















Bahan-bahan :

1/2 kg udang sederhana besar
3 papan petai
2 labu bawang besar dipotong empat
garam
perahan air asam jawa
minyak untuk menumis

Bahan Kisar :
2 labu bawang besar
3 ulas bwang putih
1 inci halia
1 mangkuk kecil cili kering
sedikit belacan


Cara-cara :
1. Panaskan minyak. Tunggu sehingga minyak panas tumis bahan-bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan udang dan kacau rata.
3. Masukkan bawang besar yang dibelah empat tadi dan juga petai.
4. Perasakan dengan garam dan masukkan perahan air asam jawa.
5. Tunggu sehingga kuah mendidih dan boleh ditutup api.




Wednesday, June 24, 2015

dari dapur masak Arisa - SAMBAL BILIS GORENG JAWA

Untuk lauk tambahan Arisa menyediakan sambal bilis goreng yang enak ini. Resepi ini diajar oleh bibik ibu saudara suami Arisa sewaktu Arisa baru berkahwin dahulu. Apabila dia melihat Arisa berminat untuk belajar resepi ini terus diajar waktu dia ingin menyediakan juadah ini untuk keluarga kami. Orang baru dalam keluarga suamikan tu yang duk sibukkan diri kat dapur nak belajar masak itu ini untuk suami tersayang. Cewahhh....


SAMBAL BILIS GORENG JAWA



















Bahan-bahan : (goreng dahulu)
segenggam ikan bilis - dibelah dua
3 keping tempe - dipotong kecil
3 keping tauhu - dipotong kecil
1 biji kentang - dipotong kecil
sedikit kacang tanah

Bahan hiris :
2 biji lada merah
2 biji lada hijau
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih

2 sudu cili kisar
sedikit suun jika suka
sedikit kicap
garam dan gula secukupnya
minyak masak

Cara-cara :
1. Panaskan minyak tumis cili kering yang telah dikisar sehingga garing.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah digoreng tadi.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan hiris. Kacau rata.
4. Masukkan suun, kicap,garam dan gula secukup rasa.Dah siap.

** Jika sambal ini dimasak kering ia lebih tahan lama. Selamat mencuba.

KETAM BERCILI ARISA

Assalamualaikum...Selamat tengahari...Masa berjalan begitu pantas. Diam tak diam hari ni da seminggu kita di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Setiap hari ibu-ibu terutama surirumah pening memikirkan juadah apa yang perlu disediakan untuk berbuka dan bersahur kan. Hari ni Arisa ingin berkongsi juadah berbuka yang dah lama tak disediakan. Walaupun nak memasaknya mudah tetapi nak memakannya perlu banyak masa. Haha...sebab tu lah Arisa jarang memasak menu ni. Tetapi apa salahnya untuk bulan puasa ni kita buat pulak kan. Lagipun selalu sangat menu bertemakan ayam dan ikan sesekali kita tukar makanan laut pulak ye tak. Ok lah membebel panjang-panjang pun buat kering tekak je kan jom kita terus masak.


KETAM BERCILI ARISA


Bahan-bahan :
5 ekor ketam
1 labu bawang besar (hiris)
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
gula 
garam

Bahan Kisar :
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit halia
sedikit cili kering

Cara-cara :
Tumis bahan kisar hingga naik bau. Setelah tumisan agak garing masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Perasakan dengan gula dan garam. Tambahkan sedikit air jika mahu berkuah. Apabila sos telah mendidih, masukkan ketam dan kacau hingga rata.Masukkan bawang besar yang telah dihiris tadi. Masak dalam 5 minit kemudian boleh ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.



Tuesday, June 23, 2015

AYAM MASAK BLACKPEPPER DAN KACANG PANJANG

Assalamualaikum...

Sekali lagi Arisa berkongsi resepi yang ringkas dan mudah disediakan. Bertemakan ayam. Cume kali ni menu Arisa cantuman dua jenis lauk dijadikan satu. Ayam dan sayur dimasak sekali. Sangat mudah untuk ibu-ibu bangun pagi memasak lauk bersahur. Dapat menjimatkan masa.


AYAM MASAK BLACKPEPPER DAN KACANG PANJANG



Bahan-bahan :

3 keping isi ayam (dipotong kecil-kecil)
1 labu bawang besar (hiris)
2 ulas bawang putih (hiris)
1/2 inci halia (hiris)
5 batang kacang panjang (potong serong)
2 biji cili hidup (potong serong)
sos tiram
sos blackpepper
garam


Cara-cara :

Tumis bawang besar, bawang putih dan halia sehingga naik bau. Masukkan isi ayam kacau sehingga isi ayam masak. Kemudian masukkan hirisan kacang panjang. Jangan masak sayur kacang terlalu lama. Nanti tak rangup. Selepas itu, masukkan sos tiram, sos blackpepper dan perasakan dengan garam. Kacau rata dan siap untuk dihidangkan.


Monday, June 22, 2015

Dari Dapur Masak Arisa - ASAM PEDAS AYAM

Assalamualaikum...

Untuk juadah berbuka hari ini resepi yang mudah dan ringkas. Kegemaran kami sekeluarga. Boleh dimakan dengan nasi putih, lempeng atau roti canai segera.

ASAM PEDAS AYAM




Bahan-bahan:

Bahan Kisar :
3 labu bawang besar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
cili kering ( secukupnya )
sedikit belacan

1 ekor ayamg dipotong dan dibersihkan
2 batang serai di ketuk
Tomato
Daun Kesum
Perasan air asam jawa
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis


Cara-cara :

1. Panaskan minyak kemudian tumiskan serai dan bahan kisar sehingga garing dan naik bau.
2. Setelah bahan tumisan garing, masukkan ayam yang telah dibersihkan tadi. Apabila air ayam sudahpun keluar tambahkan sedikit air lagi supaya ayam mudah empuk.
3. Setelah ayam empuk, masukkan pula perahan air asam jawa dan perasakan dengan garam.
4. Akhir sekali, masukkan daun kesum untuk penambah rasa dan bau. Lebih banyak daun kesum lebih sedap untuk membangkitkan aroma asam pedas yang lebih lazat. Tunggu sehingga kuah mendidih sekali lagi dan boleh ditambahkan tomato yang telah dibelah dua.
5. Kemudian, boleh ditutup api dapur. Siap dan sedia untuk dihidangkan.






Dari Dapur Masak Arisa : HOMEMADE PIZZA

Assalamualaikum...Salam Ramadhan semua.Semoga Ramadhan tahun ini membawa barakah untuk kita semua. Dah lebih 2 minggu Arisa diam membisu. Cewaaahhh....Bukan diam membisu. Tapi masa tak mengizinkan untuk Arisa upload resepi. Orang busy kan...Busy sangat tu tak la tapi sedang sibuk promosi kuih dan biskut raya yang di buat oleh anak saudara. Jadi tukang promosi je...Hajat hati tu cam nak buat sendiri tahun ni tapi kita manusia hanya mampu merancang je kan.

Oklah puasa-puasa gak tapi hidangan untuk keluarga perlu diutamakan juga. Time ni la kita boleh cube pelbagai resepi untuk bersahur dan juga berbuka. Tapi Arisa tetap kekalkan tema Dari Dapur Masak Arisa resepi yang mudah dan ringkas disediakan guna apa aje yang ada di dapur.

Menu ini boleh disediakan samada untuk dimakan waktu bersahur ataupun berbuka nanti. Yang pentingnya anak-anak pasti sukakannye.Jom cube!...


HOMEMADE PIZZA


















Bahan-bahan :
1 beg roti sandwich
1 peket crabstick - potong kecil
1/2 mangkuk cendawan butang - hiris
1/2 mangkuk nenas dalam tin - toskan airnya
1 peket sosej - potong kecil
1 labu bawang besar - dicincang
1 peket keju cheddar
sedikit sos cili
sedikit sos tomato
serbuk spice herbs

Cara-cara :

1. Sapukan sos cili dan sos tomato pada setiap kepingan roti.
2. Kemudian, letakkan bahan-bahan yang telah dipotong tadi.
3.Selepas itu letakkan keju cheddar sekeping diatas setiap kepingan roti. Boleh juga dihancurkan terlebih dahulu.
4. Taburkan serbuk spice herbs. Arisa suka gunakan jenama McComik untuk aroma Itali. Ceh!...
5. Akhir sekali, masukkan di dalam oven dan bakar tapi jangan terlalu lama agak- agak keju cair da boleh dikeluarkan. Siap.


Tuesday, June 02, 2015

dari dapur masak Arisa - CUCUR MANIS

Assalamualaikum...

Menu petang untuk keluarga hari ini Arisa menyediakan Cucur Manis. Bahan pun tak banyak. Cepat dan yang penting sedap...

CUCUR MANIS





















Bahan - bahan :

3 cawan tepung gandum 
1/2 cawan susu pekat manis
3 cawan air panas mendidih
secubit garam

Cara - cara : 

1. Bancuh kesemua bahan. Dan biarkan sejuk sedikit.
2. Panaskan kuali dan masukkan minyak.Agak - agak cucur boleh tenggelam sewaktu digoreng.
3. Apabila minyak panas boleh digoreng bancuhan cucur tersebut sehingga selesai.
4. Kemudian toskan.
5. Sedap dimakan panas - panas bersama kopi 'o' ataupun teh 'o'.



dari dapur masak Arisa - MURTABAK MEE SEGERA

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kalau bangun tidur je hari - hari kat kepala ni fikir benda yang sama menu apa nak masak untuk sarapan pagi. Kebetulan cuti sekolah ni, banyak resepi yang Arisa nak kongsikan. Seperti biasa resepi Arisa mudah dan ringkas dengan menggunakan apa sahaja bahan yang ada di dapur.

Pagi ini Arisa nak kongsikan satu resepi yang telah diajarkan pada Arisa oleh Kak nga Arisa. Resepi yang asal boleh ni mudah dan ringkas juga disukai anak -anak. Murtabak Mee Segera. Dengar nama murtabak mesti orang akan terpikir nak buat doh la, nak mencanai la, nak sediakan inti lagi, nak itu nak ini. Tapi yang ini da nama pun Murtabak Mee Segera jadi ia segera disediakan. Mari cube...

MURTABAK MEE SEGERA




Bahan - bahan :

1bj bawang besar - dihiris
1bji cili hijau - dihiris
2peket mee segera (Arisa biase guna perisa kari)
3bj telur
2peket perencah kari dari bungkusan mee segera

* optional
sosej @ daging cincang
sayur campur
daun bawang
cili merah

             

Cara - cara :

1. Rebus mee segera di dalam air mendidih sehingga lembut. Kemudian toskan.
2. Untuk bancuhan telur pula, pecahkan telur dalam bekas berasingan. Masukkan hirisan bawang besar, cili, sayur campur, daging cincang serta perencah mee segera.
3. Kacau bahan hingga sebati.
4. Selepas itu masukkan mee segera yang telah direbus tadi di dalam bancuhan telur.
5. Panaskan kuali dan tuangkan bancuhan mee segera dan telur tadi.Ratakan di dalam kuali.
6. Apabila bahagian bawah telah masak, balikkan bahagian sebelah lagi. Kemudian angkat dan boleh dihidangkan dengan sos ataupun sambal tumis.



Sunday, May 31, 2015

dari dapur masak Arisa - Ayam Masak Lemak Cili Padi


Assalamualaikum...Tercari-cari menu nak masak untuk tengahari.Asam pedas da selalu sangat.Bila tanye bujang sorang ni dia request ayam masak lemak pulak. Bila tengok bahan semua cukup alhamdulillah da bole mula masak.Untuk resepi kali ini Arisa adjust sedikit cili tu gantikan dengan cili hidup.Kecian pulak takut nanti anak-anak kepedasan.

AYAM MASAK LEMAK CILI API 


Bahan - bahan :

Bahan kisar
2 ulas bawang besar
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
5 btg cili hijau hidup
1/2 genggam cili padi

1 ekor ayam sederhana
6 biji kentang
2 btg serai - diketuk
1 ktk kecil santan segera
perahan asam jawa
2 helai daun kunyit
garam
                                                                minyak untuk menumis


Cara - cara :

1. Panaskan minyak. Tumiskan serai dan bahan kisar sehingga garing.
2. Masukkan kentang dan tunggu sehingga kentang separuh empuk.
3. Kemudian, masukkan ayam dan tambahkan sedikit air dan biarkan mendidih.
4. Selepas itu, masukkan santan segera dan kacau perlahan.
5. Setelah ayam dan kentang empuk dan kuah telah pecah minyak tambahkan perahan air asam jawa dan garam secukupnya.
6. Akhir sekali, siatkan 2 helai daun kunyit untuk aroma yang lebih menyelerakan. Sedia dimakan dengan nasi panas.

Untuk hidangan tengahari ini Arisa ada tambahan lauk ikan selar goreng dan ulam timun. Ringkas tapi berkhasiat.Kuah lemak selain boleh dimakan bersama nasi putih boleh juga dimakan dengan lempeng atau roti kosong.Bismillah...



dari dapur masak Arisa - FRIED GLASS NOODLES

Salam...dan selamat bercuti hujung minggu dan juga cuti sekolah. Disebabkan hari cuti anak-anak pun tak sekolah dan kerana mereka pun bangun lewat, Arisa sediakan menu yang ringkas tapi sedap dan mudah disediakan.Resepi ini bukan hanya anak-anak yang suka bahkan Arisa pun sukekan nya.Resepi yang Arisa kongsi dari blog zulfaza luv cooking...tapi telah diubahsuai sedikit mengikut citarasa Arisa sekeluarga...Mari kita cuba...

FRIED GLASS NOODLES ( SUUN GORENG )


Bahan - bahan :

2kpg suun (rendam sehingga lembut)
1bj bawang besar - dihiris
2bj bawang putih - dicincang
Isi ayam -  dipotong kecil
1btg sosej - dihiris nipis
carrot - dihiris
1bj telur digoreng hancur
2sb sos cili
2sb sos tomato
2sb sos tiram
2sb kicap manis
2sb kicap masin


Cara - cara :

1. Tumis bawang besar bersama bawang putih sehingga naik bau.
2. Masukkan isi ayam, sosej dan hirisan carrot.Kalau hendak tambah sayur lain pun boleh.
3. Masukkan sos cili,sos tomato, sos tiram, kicap manis dan kicap masin.Kacau rata.
4. Kemudian masukkan suun yang telah lembut dan ditoskan airnya.
5. Akhir sekali masukkan telur yang telah digoreng hancur tadi dan gaul sehingga rata.
6. Siap.Boleh dihidangkan dengan bawang goreng dan daun sup untuk penambah selera.
7. Jika mahukan lebih pedas titik beberapa biji cili padi.



Tuesday, May 26, 2015

Resepi Sarapan Pagi...Roti Sosej Telur Kasih Arisa

Assalamualaikum...Selamat Pagi

Bagi ibu yang bekerja rutin bangun awal pagi memang sudah biasa. Perlu menyediakan sarapan dan keperluan anak ke sekolah dan keperluan suami ke pejabat.Bagi Arisa menyediakan sarapan yang ringkas dan mudah dapat menjimatkan masa.Pagi ini kita berkongsi satu lagi resepi untuk keluarga.Hanya perlukan beberapa bahan sahaja.

Resepi ini sebenarnya boleh disediakan lebih awal iaitu waktu malam dan hanya perlu menggoreng pada keesokan harinya sahaja.

     ROTI SOSEJ TELUR KASIH ARISA


Bahan-bahan :

10 keping roti sandwich plain / gandum (biasanya Arisa guna roti Gardenia)
5 btg sosej
3 biji telur
mayonis
sos cili
timun dan tomato untuk tambahan


Cara-caranya :

1. Roti sandwich dicanaikan menggunakan roller. Ini bagi mengelakkan roti menyerap minyak yang banyak sewaktu menggoreng.
2. Potong sosej kepada 2 bahagian memanjang.
3. Sapukan sos cili dan mayonis pada roti tadi. Kemudian letakkan sosej dan gulung dengan ketat.
4. Celupkan roti pada bancuhan telur dan goreng dengan api yang kecil.Angkat dan toskan.
5. Timun dan tomato dihiris nipis untuk dimakan bersama roti yang telah siap nanti.

Ok da siap mudah dan cepat disediakan. Anak-anak tentu suka.

Monday, May 25, 2015

MEE GORENG UDANG BASAH...Resepi minum petang

Salam...
Jumpa lagi...
Takde idea nak masak apa untuk minum petang??Terutama bagi ibu bekerja kan.Menu yang ringkas dan mudah disediakan...JOM MASAK...

MEE GORENG UDANG BASAH


BAHAN-BAHAN:

1/2kg Mee kuning
2bj bawang besar - kisar
2bj bawang putih - kisar
sedikit cili kering - kisar
perencah ikan bilis
sedikit udang untuk rencah
2bj telur
sayur sawi
carrot
fish cake
fish ball
sedikit kicap manis
garam secukup rasa

Cara-caranya:

Tumis bahan kisar  sehingga naik bau. Masukkan fish cake, fish ball dan udang. Setelah agak masak masukkan mee kuning.Gaulkan sehingga rata.Masukkan sayur sawi dan carrot. Kemudian masukkan telur kicap manis dan garam secukupnya.Tambah sedikit air untuk mee kelihatan basah.Done!



Salam Perkenalan

Assalamualaikum...
     Hai...Salam perkenalan buat semua yang membaca blog Dari Dapur Masak Arisa...
Blog yang akan berkongsi resepi dari air tangan sendiri, dari resepi turun temurun dan dari perkongsian dengan rakan-rakan.
     Bulan Mei bulan terindah untuk Arisa. Resepi pertama yang Arisa akan kongsikan bersama ialah resepi pertama yang diturunkan dari mak mertua Arisa sebelum Arisa menjadi menantu dalam keluarga suami lagi...Kata mak mertua itu makanan kegemaran suami.Heee...Jom kita berkongsi resepi...

ASAM PEDAS IKAN PARI MAK





















Bahan-bahan (anggaran untuk 10 orang)

Bahan Kisar :
3bj bawang besar
4bj bawang merah
3bj bawang putih
1inci halia
1inci kunyit hidup
cili kering (secukupnya)
sedikit belacan

12 kepingan ikan pari (cuci bersih)
2btg serai ditumbuk
Sawi Jeruk
Tomato
Bendi
Daun Kesum
Perahan air asam jawa
Garam secukupnya

Cara-caranya :
Panaskan minyak kemudian tumiskan serai dan bahan kisar sehingga garing dan naik bau. Setelah bahan tumisan garing, masukkan sedikit air untuk dijadikan kuah. Apabila kuah mendidih masukkan ikan dan sayur-sayuran.Kemudian masukkan perahan air asam jawa dan garam. Akhir sekali daun kesum penambah rasa. Lebih banyak daun kesum lebih baik untuk aroma asam pedas yang lebih memikat...wow...ayat...tunggu sehingga mendidih sekali lagi dan boleh ditutup api dapur. Siap dan sedia untuk dihidangkan.

Untuk tambahan lauk sampingan biasenya Arisa akan mnyediakan telur dadar, sambal belacan dan ulam-ulaman..Selamat Mencube...